Membedah Demokrasi...
Siapa pun penganjurnya
jangan ganggu
himpunan aman
KUALA LUMPUR , Semasa kempen pilihan raya lalu, Presiden PAS telah bersetuju supaya himpunan aman (demontrasi) diizinkan apabila BA (Pakatan Rakyat) memerintah. Kenyataan Presiden PAS itu dipermainkan oleh media utama milik umno, dengan menggambarkan bahawa PAS menggalakkan demontrasi jalanan yang boleh menghuru-harakan negara.
BN tentu berharap kenyataan Presiden PAS itu boleh menyebabkan rakyat menolak pembangkang. Namun keputusan pilihan raya menjawab segala tohmahan Umno-BN; 50 peratus rakyat memilih BA (Pakatan Rakyat) dengan lima negeri dan Wilayah Persekutuan tidak dikuasai oleh BN.
Setelah pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah, beberapa kenyataan dikeluarkan oleh Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Hal DEB menjadi tajuk hangat media utama. Kenyataan Lim Guan Eng mengenai hal Dasar Ekonomi Baru tiba-tiba meletup dan menjadi bahan sasaran umno untuk meraih sokongan Melayu setelah ia kehilangan kuasa di enam buah negeri berkenaan.
Demontrasi untuk “menyelamatkan” Melayu melalui DEB dilancarkan oleh umno dan badan NGO Melayu yang ditaja oleh umno di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Saya bersama dengan Lim Guan Eng membuat sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, mahukan pihak polis mengizinkan himpunan aman berkenaan. Kami menekankan pihak polis hendaklah mengawal himpunan aman dengan baik, tanpa melepaskan pemedih mata, menyepak-menendang, memukul dan menangkap mereka yang terlibat.
Saya amat berharap polis dan pihak KDN mempunyai pendekatan baru terhadap sebarang himpunan aman rakyat. Pihak polis perlu keluar dari alam jakun dunia ketiga dalam menangani isu himpunan rakyat.
Selagi peserta himpunan aman (demontrasi) tidak merosakkan harta awam, tidak menggunakan senjata, tidak menghina mana-mana agama, pihak polis hendaklah membiarkan himpunan berjalan. Peserta demontrasi hendaklah dirunding tentang tempoh yang diperlukan dalam mana-mana perhimpunan.
Saya amat tidak setuju gesaan supaya kita, di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, meminta pihak polis menggunakan gas, air beracun, atau apa-apa jua elemen kekerasan untuk menyuraikan himpunan rakyat yang dianjurkan lawan politik kita.
Membalas dendam pada rakyat kerana tidak bersetuju dengan kita adalah perbuatan jijik dan tidak bertamadun.
Walaupun berkali-kali kita dikasari oleh pihak polis semasa demontrasi termasuk ditangkap, disepak, diterajang, hingga ada yang cedera parah, saya amat berharap kejadian seumpama itu tidak akan berlaku pada orang lain.
Himpunan rakyat dibuat di Sungai Dua, Seberang Perai semasa lawatan hormat Presiden PAS menziarahi Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya turut memberi ucapan dalam majlis besar yang dihadiri oleh Tuan Guru Hají Abdul Hadi dan Lim Guan Eng. Sekali lagi kami tegaskan supaya sebarang himpunan aman hendaklah diizinkan dan tidak diganggu oleh polis secara kekerasan.
Biarlah parti lawan dan NGO mendedahkan kesalahan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila rakyat bermaklumat, mereka boleh membuat pilihan yang sesuai semasa pilihan raya. Kalau kerajaan Pakatan Rakyat banyak membuat kesalahan atau penyelewengan, rakyat boleh menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.
Paling penting rakyat mesti dapat maklumat yang betul. Sekatan melampau terhadap rakyat menyebabkan pemerintah menjadi zalim dan bertukar kepada diktator totalitarian seperti yang kerajaan BN lakukan. Jangan ada perasaan takut di kalangan pendokong Pakatan Rakyat untuk menghadapi aspirasi rakyat.
Biarlah rakyat meluahkan perasaan mereka tanpa diganggu. Adapun sebarang perhimpunan untuk mengecam mana-mana bangsa, mana-mana agama atau pun dasar yang dipersetujui bersama di atas nama “kontrak sosial” hendaklah dihindarkan. Pihak polis boleh memantau perkara-perkara seperti itu.
Sebaik-baik himpunan aman hendaklah dianjurkan oleh badan NGO, dan parti-parti politik boleh bergabung dalam badan-badan NGO yang hendak melakukan himpunan aman itu. Himpunan BERSIH, himpunan umat Islam menentang karikatur Nabi Muhammad tajaan Denmark, himpunan rakyat menentang kekejaman Israel di Palestin, juga himpunan rakyat menentang kezaliman Amerika di Afganistan dan Iraq, merupakan antara perhimpunan yang berjaya. Tiada gangguan polis, ia berjalan dengan aman, tertib dan penuh harmonis.
Di bawah pimpinan baru KDN, Dato’ Seri Abdul Hamid Albar yang banyak pengalaman di peringkat antarabangsa, saya amat berharap supaya pihak polis tidak disalah guna untuk menghalang himpunan aman, sama ada disertai pihak pro-BN ataupun Pakatan Rakyat. Himpunan aman hendaklah diizinkan bagi memastikan kerajaan dan rakyat Malaysia dapat keluar dari alam jakun dunia ketiga.
Jangan ada “double standard” sehingga himpunan pro-BN dibiarkan, tetapi himpunan pro Pakatan Rakyat dibelasah polis. Jadikanlah keputusan pilihan raya ke 12 sebagai iktibar kepada BN yang selama ini bertindak rakus dan menimbulkan kebencian rakyat.
Oleh : Hj Mohamad Sabu
-Tulisan di Harakah: Edisi 1358 (1-15 Mei 2008)-

