
SALAM & SELAMAT DATANG
"SELAMATKAN AL-AQSA DAN BEBASKAN PALESTIN......."
:
JADUAL PROGRAM / CERAMAH HJ MOHAMAD SABU
:
KOLEKSI-KOLEKSI BERITA YANG LALU (UNTUK RUJUKAN)
Rasuah sebabkan Umno
tidak sesuai lagi untuk
perintah negara
KULIM, - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional(BN) sudah tidak sesuai lagi untuk meneruskan pemerintahan mereka dalam negara ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Padang Serai di Kelab Rekreasi Cina, Kulim, Kedah.
Menurut Mohamad lagi, dengan pemerintahan Umno dan BN rakyat bukan saja menjadi mangsa kepada bentuk pemerintahan yang tidak adil dilaksanakan oleh mereka malah amalan korupsi yang sekian lama diperdebatkan oleh rakyat tidak menjadi satu perkara yang pelik kepada mereka.
"Makin banyak perkara rasuah dan korupsi yang kita utarakan semakin banyak lagi berlakunya amalan tersebut dikalangan pemimpin Umno dan BN.
"Bagi mereka adalah suatu perkara yang tidak pelik apabila memperkatakan rasuah yang menjadi amalan kepada kepimpinan mereka.
"Sepatutnya sebagai pemimpin dalam kerajaan yang memerintah mereka harus peka dan berasa malu dengan amalan rasuah yang menjadi sebahagian daripada hidup kepimpinan mereka. Tetapi ini tidak membawa apa-apa makna kepada mereka," kata Mohamad.
Menurut beliau lagi oleh kerana itu maka rakyat harus menjadi penentu kepada hidupnya Pakatan Rakyat (PR) dalam era pemerintahan kini dan akan datang.
"Justeru itu rakyat harus memberi dokongan yang kuat kepada PR supaya apa yang menjadi hasrat kita bagi mengembalikan keadilan kepada rakyat dan mengenyahkan amalan rasuah dan korupsi yang menjadi amalan kepada Umno dan BN dapat kita hapuskan," tambahnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan dan kepimpinan PAS, DAP dan PKR Kedah.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Ali Hashim-
Syabas Hasan Karim
Keluar PRM Sokong PR
KUALA LUMPUR, - Syabas dan tahniah setinggi-tingginya kepada beliau yang berani membuat satu keputusan yang amat pahit untuk dilakukan...Jom kita bersama dengan pakatan rakyat..Hasan Karim dan Allayarham Razak Ahmad adalah tokoh pembangkang yang amat disegani di Malaysia dan khususnya di Negeri Johor.
Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim meletakkan jawatannya berikutan usul beliau agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat ditolak. Keputusan meletkkan jawatan itu dibuat Hassan dalam satu surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agong PRM, Koh Swe Yong baru-baru ini.
Kongres Nasional PRM kali ke-41 pada 15 November dii Kuala Lumpur baru-baru ini menolak cadangan Hassan agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat.
Cadangan itu dibuat oleh Hassan melalui Ucapan Dasar Presiden. Hassan telah menjadi Presiden PRM selama 5 tahun dan lebih 31 tahun sebagai ahli PRM.
PRM dihidupkan semula oleh Hassan dan para penyokongnya selepas pimpinan PRM sebelum itu, Dr Syed Husin Ali dan rakan-rakannya memutuskan untuk bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN).
Pergabungan antara PRM dan PKN telah membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Baru-baru ini, Dr Syed Husin telah dilantik sebagai senator oleh Dewan Negeri Selangor.
"Saya tiada pilihan lain sebagai seorang pemimpin yang bermaruah melainkan satu pilihan sahaja iaitu meletak jawatan sebagai Presiden PRM, ahli Jawatankuasa Pusat dan semua jawatan saya di dalam parti berkuatkuasa serta merta," kata Hassan dalam suratnya itu.
Hassan juga mengambil keputusan untuk meninggalkan PRM ekoran peristiwa tersebut.
"Memandangkan saya ingin memberi kerjasama dan sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat dan tidak mahu tindakan-tindakan saya itu nanti akan menjejaskan kedudukan dan pendirian pimpinan PRM maka saya dengan hati yang amat berat mengambil keputusan meninggalkan Parti Rakyat Malaysia yang saya sayangi ini dengan berkuatkuasa serta merta juga," tulis Hassan dalam surat yang dihantar kepada media itu.HARAKAHDAILY
http://lutfimj2006.blogspot.com/"
-Oleh: Lutfi - Tranungkite.Net-
Terima kasih Chin
Peng : Mat Sabu
KUALA LUMPUR, - Sekali lagi, bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu membuat kenyataan yang "menghebohkan", apabila mendakwa bahawa "orang Melayu perlu berterima kasih kepada Chin Peng" (Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya), dan mengakui bahawa "agama sebagai candu masyarakat (pada kurun ke-19)".
Kenyataan sedemikian sebenarnya tidak "janggal" dalam forum yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tetapi, apabila kenyataan ini terkeluar dari mulut seorang pemimpin PAS, maka ia agak "membeliakkan mata" semua orang. Lebih-lebih lagi, apabila dihujahkan oleh penceramah yang popular dengan humornya, maka ia memberi kesan yang "menghiburkan".
"Agama sebagai candu"
Mat Sabu yang diundang sebagai ahli panel untuk perbincangan "Kuasa Ketiga?", dalam forum "Sistem Dua Parti di Malaysia: Suatu Analisa Kritikal" anjuran PSM pada 14 November itu, terpaksa memberi penjelasan apabila S.Arutchelvan, Setiausaha Agung PSM mendakwa bahawa Mat Sabu pernah menyetujui bahawa "agama itu candu masyarakat".
"Agama sebagai candu masyarakat. Persetujuan saya pada masa itu bersyarat, bukan secara umum. Memang kalau kita lihat, pada akhir tahun 1800 dan awal tahun 1900, kebangkitan industri di Eropah melahirkan jutawan-jutawan, kekayaan-kekayaan yang dimiliki beberapa orang, terutama sekali pemerintah Eropah, raja-raja dan sebagainya," jelas Mat Sabu.
"Untuk mempertahankan kuasa mereka, maka mereka menggunakan paderi-paderi untuk membawa orang miskin ke gereja, menyanyi lagu ketuhanan pada hari minggu. Kemudian, pada masa yang sama paderi-paderi ini menyokong pemerintah yang zalim, melintah darat..."
"Oleh itu, untuk membuat satu perubahan, maka kuasa paderi yang mencandukan rakyat itu perlu dibanteras dahulu. Itu persetujuan yang saya kata. Pandangan Karl Marx dengan keadaan pada waktu itu, kalau saya hidup, saya pun bersetuju dengan beliau!" Penjelasannya menggelakkan satu dewan.
Penyalahgunaan agama
Mat Sabu menyambung, "penyalahgunaan agama ini sentiasa berlaku. Saya sebagai orang Islam, saya tetap berpegang kepada ajaran Islam. Saya tetap mengatakan ajaran al-Quran itu begitu indah."
Beliau seterusnya memetik ayat daripada al-Quran sebagai contoh, "Apakah kamu tidak melihat orang yang mendustakan agama, membohongi ugama..."
"Di hujung ayat itu menyebut, celakalah orang yang sembahyang, orang yang tidak memberi makan kepada orang miskin, orang yang mengherdik anak yatim!"
Mat Sabu menjelaskan, "Ini al-Quran, iaitu satu pengajaran, bahawa walaupun kamu pergi ke masjid, bersembahyang dan sebagainya, tetapi tak peduli orang miskin, tak membantu anak yatim. Allah menyebut, celaka kamu!"
Jurang kaya-miskin paling ketara di negara Islam
Mat Sabu bukan sahaja terkenal sebagai penceramah, tetapi sering terlibat dalam demonstrasi, terutamanya ketika kenaikan harga minyak beberapa tahun yang lalu.
Beliau bersambung, "tetapi kamu lihat sekarang di dunia, di negara Islamlah kaya-miskin paling ketara. Kenapa jadi begitu?"
Mat Sabu kemudian mengambil contoh Pakistan, Indonesia, Bangladesh, malah di Mesir yang memperlihatkan betapa dahsyatnya perbezaan kaya-miskin di negara-negara tersebut, walaupun penuh dengan ustaz dan imam.
"Di Mesir....ribuan ustaz. (tapi) orang duduk di atas kubur, (sebanyak) tiga juta orang. Dia tunggu hari nak masuk kubur!"
"Agama itu indah, tetapi penyalahgunaan agama itu berlaku dari semasa ke semasa," simpulnya.
Angka itu untuk syok-sendiri
Mat Sabu juga mempertikaikan angka "kadar pertumbuhan" sebagai kayu ukur taraf hidup masyarakat. Beliau mendakwa bahawa kadar pertumbuhan yang tinggi di negara dunia ketiga tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar, kerana mereka yang berpendapatan 10 rupee sehari, mungkin hanya dapat 12 rupee biarpun angka pertumbuhan melonjak.
"Angka-angka yang dipamerkan kepada kita selalunya untuk kita syok sendiri, padahal jauh daripada keadilan sosial," seterusnya berkata bagaimana situasi masyarakat dunia ketiga seperti yang digambarkan dalam filem Slumdog Millionaire.
"Sebab itu, keadilan sosial ini mesti menjadi agenda semua pihak pada masa yang akan datang," tegasnya. Beliau berkongsi pandangannya bahawa perubahan pemikiran pada 8 Mac 2008, yang diibaratkan sebagai "tsunami politik", mungkin boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, tetapi belum cukup untuk melakukan reformasi sosial.
"Perubahan pemerintahan boleh, tetapi perubahan reformasi sosial jauh daripada boleh. Sebab kita lihat beberapa negeri Pakatan Rakyat ambil alih, tak berlaku reformasi sosial, hanya mengambil alih tempat. Tukar MB, tukar Exco, tukar wakil rakyat... (tapi) cara projek, cara kehidupan Menteri Besar, cara penguasaan harta...serupa!"
Beliau menambah, "bahkan kadang-kala menguatkan lagi status quo terutama sekali kuasa raja berperlembagaan, taat setia tak tentu hala sekarang ini!"
Setuju untuk menjatuhkan BN
"Sebab kita mahu berlaku perubahan, dan pada masa yang sama berlaku perubahan sosial. Ini yang paling penting!"
Walau bagaimanapun, Mat Sabu mengaku, "... saya setuju BN (di-)jatuhkan. Saya setuju. Sebab bila rakyat jatuhkan sebuah kerajaan yang menyeleweng, bila kerajaan baru naik, menyeleweng, mudah rakyat jatuhkan! Itu yang kita harapkan."
"Oleh itu, kalau Pakatan Rakyat naik memerintah, jangan berangan nak memerintah 50 tahun. Barangkali satu penggal pun payah, kerana rakyat sudah mula criticize..." Mat Sabu menyusuli dengan penghargaan kepada mereka yang mengkritik Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz, yang diheret ke dalam pertikaian tajaan ke Mekah. Sambil berseloroh Mat Sabu berkata, "bila ada tajaan, ada udang di sebalik mee..."
Perubahan pemikiran masyarakat Melayu
Ketika mengulas perubahan pemikiran dalam masyarakat Melayu, Mat Sabu berkata, "bila rakyat sudah buang satu kepercayaan karut, yang misalnya satu parti itu tidak boleh jatuh sampai bila-bila, ini perubahan yang kita alu-alukan."
"Memang nak ubah pemikiran rakyat cukup susah, tambahan pula di masyarakat orang Melayu. (Di masyarakat Melayu) Hang Tuah ditabalkan sebagai hero, Hang Tuah yang mengorbankan kekasihnya sendiri, diberikan kepada Raja, kemudian diberi sirih supaya lupa pada dirinya...ini hero."
Beliau sambung, "Ini bukan hero, ini binatang pondan. Sepatutnya kalau kita hero, tahi mata harimau lagi ku buang, itu pula kekasih... Inilah hero yang ditabalkan dalam masyarakat Melayu."
Untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu, Mat Sabu berpendapat bahawa sejarah perlu diperbetulkan, sama ada sejarah Hang Tuah mahupun sejarah kemerdekaaan.
Berterima kasih kepada Chin Peng
Beliau menceritakan pengalamannya ketika berceramah di sebuah masjid yang dihadiri pegawai tentera. "Di antaranya saya menyebut, kita berterima kasih kepada Chin Peng (gambar kiri) kerana membunuh Henry Gurney. Habis masjid tu saya nampak terkejut. Mat Sabu berterima kasih kepada Chin Peng?"
"Mereka tidak tahu Henry Gurney tu ialah polis British yang menyeksa rakyat Palestine, yang mula-mula membuat kampung baru di Palestine untuk menghimpunkan orang Arab, dan membawa Jews ke Palestine. Dengan itu, sebab jasanya di Palestine, dia dibawa ke Malaya," jelasnya.
"Dan Chin Peng bunuh orang seperti ini. Orang Melayu tidak tahu yang Henry Gurney ini pernah bertugas di Palestine!"
Beliau menyimpul, "sebab itulah hal sejarah, perjuangan rakyat penting diperbaharui. Sebab itu mereka amat amat takut Chin Peng kembali... bukan soal keganasan dan sebagainya, sebab kalau Chin Peng kembali, ceramah pertamanya, kalau boleh kita nak buat di Setiawan...Saya yakin lebih daripada setengah juta rakyat akan hadir!"
"Kita dalam perjuangan ini, kadang-kala tidak tercapai dalam masa hidup, akan disambung oleh generasi yang lain. Memanglah saudara nak idealis sosialis, saya nak Islam yang tulen. Tapi kita boleh berbincang, kita boleh bertemu, yang utama sekali mestilah ia berfungsi untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan elit."
Beliau sempat menyatakan ketidakpuasan beliau terhadap prestasi Pakatan Rakyat di beberapa negeri, dengan terus terang beliau berkata, "Di sudut struktur buang kepentingan elit tak banyak berubah. Hanya bertukar menteri besar, bertukar exco, tapi style kepimpinan tidak berubah!"
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu.
-Oleh: Lim Hong Siang - Merdeka Review-
Hari Mengingati Para
Syuhada' Memali
Ingatan kepada para Syuhada' dalam peristiwa pembunuhan kejam 14 orang ahli-ahli & penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) oleh pasukan polis yang menjadi suruhan kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh parti perkauman sempit umno pada 19/11/1985.
Sempena memperingati hari tersebut, satu program ceramah diadakan di Memali, Baling pada 19hb Nov. 2009 (jam 9 mlm)
Ikuti dan hadir bersama-sama.
Resolusi Seminar
Politik Memperkasakan Parti
KUALA LUMPUR, - Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:
1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini. Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.
2. PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.
3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.
Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:
1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.
2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.
3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.
4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".
Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:
1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.
2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.
3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.
4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS. Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.
5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.
Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.
-Dipetik Dari DetikDaily.Com-
20 pengkhianatan Umno
terhadap orang Melayu
KUALA LUMPUR, - Sejak 52 tahun lalu, negara ini hanya diperintah oleh Umno/BN/Perikatan, selain itu tiada parti lain yang berjaya menjadi pemerintah di negara yang majoriti penduduknya Melayu.
Adapun parti yang memerintah negeri-negeri seperti Kelantan (PAS- kini), Terengganu (PAS 1999-2004); Perak (Pakatan Rakyat,DAP-PAS-KeADILan sejak Mac 2008-Februari 2009); Selangor Mac 2008-kini), Kedah (Mac 2008-kini) dan Pulau Pinang (Mac 2008-kini), semuanya dianak-tirikan dari menerima bantuan pembangunan oleh kerajaan pusat. Sejak itu juga, Umno/BN menggunakan 'kesempatan' dengan agensi kerajaan, media dan kuasa untuk mencengkam jiwa-jiwa orang melayu dan kaum-kaum lain bagi mengekalkan kuasa mereka.
Malah dengan akta-akta seperti Ordinan Darurat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Umno/BN berjaya 'menutup' mulut-mulut rakyat, dan setiap kali getir melanda periuk nasi Umno/BN, pastinya akta-akta ini digunakan bagi emnakut-nakutkan rakyat.
Dalam masa yang sama, bak kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan dengan kakitangan Harakah pada 28 Oktober lalu di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Umno/BN memperbodohkan rakyat dengan akhbar-akhbar mereka hingga rakyat menjadi 'pak turut'.
Berita-berita yang dimuatkan dalam media milik Umno/BN hanya memaparkan pandangan sebelah pihak, selebihnya menghentam dan memfitnah pembangkang.
Sejarah pastinya tidak akan melupai akan Umno/BN lah yang mengurangkan kuasa Raja-raha Melayu, yang menderhaka kepada Sultan apabila di Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008, Umno/BN tidak bersetuju dengan perkenan Sultan Terengganu melantik Dato' Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar menggantikan Dato' Seri Idris Jusoh.
Mereka (Umno/BN) turun ke jalan-jalan raya bagi membantah tindakan Sultan hinggakan slogan 'natang' ditujukan kepada Sultan dan Istana.Penderhakaan ini tidakpun diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa hingga kini.
Sementara AJK PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar pada satu majlis di Gombak satu ketika lalu pernah mengingatkan bahawa rakyat tidak akan lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga sekarang di bawah Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.
Ujarnya pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. sedangkan Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu. Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan bermula pada zaman pemerintahan Dr Mahathir hinggalah hari ini apabila sistem kehakiman semakin dibobrokkan.
Bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) itu juga, telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.
Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.
Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan.
Pada zaman Dr Mahathir juga, Umno/BNmemperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia.Hak tunggal bahasa Melayu ini dicabuli dan pemimpin Umno/BN mempertahankannya.
Akibatnya, dasar yang digubal dan dilaksanakan itu akhirnya melemahkan pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, selain keciciran Melayu di kawasan pedalaman.
Rakyat pastinya tidak akan lupa dengan tindakan Umno/BN menarik semula geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.Umno/BN melaungkan bahawa SAR tempat melahirkan pengganas, dan ia adalah menurut kajian orang kanan Najib, Abdul Razak Baginda yang pernah dikaitkan dengan dakwaan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.
Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu :
1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.
2. Melemahkan sistem kehakiman negara.
3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.
4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.
5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.
6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.
7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.
8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.
9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.
10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.
11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.
12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.
13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.
14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.
15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.
16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.
17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.
18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.
19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.
20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.
Selain itu, Kerajaan Umno/BN juga mengadakan hubungan erat dengan Israel sebuah negara Yahudi yang ganas walaupun dasar negara tidak mengiktiaf negara yahudi itu.Talam dua muka yang mengkhianati sokongan bangsa sendiri yang menentang keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.
Umno/BN juga hanya memberi kontrak yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada kroni iaitu Umnoputra yang rapat dengan pemimpin pemerintah yang kemudianya menjual projek kepada tauke tauke kaya dengan keuntungan berjuta ringgit tanpa membuat sebarang kerja.
Sementara tauke ini akan membuat projek berkenaan dengan baki modal yang kurang dari yang diperuntukkan. Maka jadilah lebuhraya retak, bangunan bocor, projek-projek tidak siap seperti PKFZ dab landasan berkembar Ipoh Rawang yang rugi sekitar RM1.14 billion, masjid runtuh, jambatan runtuh dan stadium di Terengganu yang runtuh.
-Dipetik Dari DetikDaily.Com-
-Oleh : Wan Nordin Wan Yaacob-
SPR perlu diletakkan
dibawah Parlimen
KUALA LUMPUR, - Sebuah badan penggendali pilihanraya seperti Suruhanjaya Pilhanraya (SPR) bukan sahaja perlu bebas dari campurtangan mana-mana parti politik atau pemerintah, tetapi perlu juga dilihat bebas dari pengaruh mana-mana pihak.Itulah yang tidak berlaku di Malaysia.
SPR tidak dilihat bebas dari pengaruh kerajaan oleh kerana ianya berada dibawah kekuasaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya bertanggungjawab kepada parlimen Malaysia.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang pada satu ketika dahulu berada dibawah kuasa JPM kini telah dibebaskan dan berada dibawah parlimen. Apakah mustahil untuk meletakkan SPR berada dibawah parlimen supaya ianya turut dilihat bebas?
Satu ketika dahulu, kita dapat melihat bagaimana bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika memimpin SPR dikecam hebat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) oleh kerana dikatakan memihak kepada parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN).
Kemarahan kepada Rashid dan SPR berada ditahap kemuncak sehinggalah satu demonstrasi raksaksa dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebuah gabungan yang terdiri dari parti politik pembangkang dan NGO pada 11 November 2007.
Lebih daripada 50,000 rakyat membanjiri ibukota berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan pilihanraya ke 12 bersih dan adil. Ombak kebangkitan rakyat ini dengan mudah dapat mematahkan sekatan-sekatan ketat yang dilakukan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, PDRM menutup kesemua pintu masuk ke Kuala Lumpur dengan sekatan-sekatan jalanraya.
“Paranoia” PDRM untuk menghalang demonstrasi raksaksa yang bertemakan warna “kuning” itu telah menyebabkan ada kenderaan sekeluarga pengantin yang memakai warna kuning turut ditahan dan terpaksa membuktikan bahawa pada perkahwinan akan berlaku pada hari tersebut sebelum dilepaskan.
Terdapat empat tuntutan Bersih dalam kempen tersebut:
1. Bersihkan daftar pengundi.
2. Penggunaan dakwat kekal.
3. Media memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya.
4. Manushkan undi pos.
Kesemua tuntutan Bersih tidak dilayan oleh SPR dan kerajaan Malaysia termasuk oleh pihak Istana Negara sehingga hari ini. Malahan empat hari sebelum PRU 12, SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal diatas faktor keselamatan. Maka berjuta ringgit duit pembayar cukai untuk membeli dakwat kekal terbazir begitu sahaja dan sehingga kini, rakyat Malaysia masih belum tahu apa yang terjadi kepada dakwat kekal yang dibeli sebelum PRU 12 itu. Apakah berbotol-botol stok dakwat kekal itu sudah kering? Apakah ianya telah mencapai tarikh luput? Hanya SPR dan kerajaan Malaysia yang tahu.
Selepas berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN didalam Parlimen, berjaya merampas beberapa buah negeri dan menang dalam banyak PRK, “suara-suara” untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil semakin kurang kedengaran.
Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) di Dewan Rakyat juga masih belum “garang” untuk memperjuangkan SPR dibebaskan dari pengaruh JPM sedangkan inilah perkara yang paling asas perlu diperjuangkan jika mahu perjalanan pilihanraya di Malaysia lebih baik pada masa akan datang. Selagi SPR masih belum bebas dari pengaruh JPM, agak sukar untuk memastikan badan yang menggendalikan pilihanraya ini benar-benar menjalankan tugas mereka dengan telus dan independen.
Mari kita lihat satu contoh. Selepas bersara sebagai pengerusi SPR, Rashid yang begitu dibenci oleh pakatan pembangkang kembali menjadi seorang yang rasional dan bercakap sebagai seorang yang bebas.
Sebaik sahaja speaker Perak, V. Sivakumar menghantar notis pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, bekas pengerusi SPR itu mengatakan bahawa SPR tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi tersebut.
Menurut Rashid, selepas SPR Negeri Perak menerima surat perletakkan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering dari Speaker DUN Perak, SPR tidak mempunyai pilihan selain memanggil pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi DUN tersebut.
Komen Rashid ini bukanlah kerana beliau menyokong PR, tetapi kerana itulah yang sepatutnya dilakukan oleh SPR mengikut lunas undang-undang oleh kerana keputusan speaker adalah muktamad dari segi undang-undang.
Terbuktilah bahawa Rashid yang satu ketika dahulu begitu dibenci bukanlah “begitu jahat”. Beliau menjadi “jahat” pada ketika itu oleh kerana tidak ada apa yang boleh beliau lakukan oleh kerana SPR berada dibawah kekuasaan JPM. Sesiapa sahaja walau sebaik manapun individu tersebut jika menjadi pengerusi atau anggota pesuruhjaya SPR selagi badan tersebut tidak bebas dari JPM akan melakukan perkara yang sama.
Dinegara jiran kita seperti di Thailand. SPR mereka mempunyai kuasa yang kuat. Sesiapa yang didapati terlibat dengan “rasuah politik” dalam pilihanraya, walaupun dibuktikan kesalahannya selepas seseorang individu tersebut menang dalam pilihanraya dan telah menjadi menteri, masih boleh dibatalkan kemenangannya. Itulah yang berlaku kepada bekas perdana menteri mereka, Thaksin Shinawatra.
Walaupun tidak ada jaminan jika SPR bertanggungjawab dibawah parlimen maka badan tersebut akan menjalankan tugasnya dengan baik, sekurang-kurangnya, badan tersebut dilihat bebas. Bukan seperti kini, SPR bukan sahaja dilihat tidak sebagai sebuah badan yang bebas tetapi badan tersebut turut dicurigai.
Jika PR benar-benar mahukan pilihanraya di Malaysia mencapai standard antarabangsa, inilah masanya untuk ahli-ahli Dewan Rakyat mereka untuk memperjuangkannya.
Jika perjuangan untuk pilihanraya yang bebas dan adil berlaku selepas kekalahan yang teruk dalam pilihanraya, maka benarlah kata-kata seorang ahli parlimen BN bahawa PR hanya perjuangkan pilihanraya bebas dan adil selepas kalah dalam pilihanraya. Jika mereka menang, semuanya senyap dan membisu mengenai isu ini.
-Dipetik Dari MalaysiaInsider.Com-
-Oleh : Amin Iskandar-
PAS Akan Tetap
Bersama Pakatan Rakyat
PULAU PINANG, - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa PAS akan menarik diri daripada Pakatan Rakyat(PR).Beliau juga menyelar mereka yang cuba menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat dengan menimbulkan pelbagai kontroversi dan provokasi semata-mata untuk melihat PR berpecah.
"Konflik yang melanda PAS kebelakangan ini telah mengundang pelbagai persepsi dikalangan masyarakat dan penyokong.Ada juga yang mengandaikan PAS akan berpecah.
Namun begitu walau apa jua yang dilemparkan oleh pihak yang cuba melihat PR retak ianya tidak akan menjadi realiti kerana PAS akan tetap bersama dalam PR.
"Kekhilafan dan perbezaan pandangan yang berlaku dalam PAS sejak mutakhir ini tidak menimbulkan impak yang besar dan tidak pula sampai kepada perpecahan seperti yang didakwa mereka.Sebaliknya perbezaan tersebut adalah perkara yang lumrah tetapi ia tidak akan sampai kepada perpecahan dalam parti."
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata PAS tidak menolak untuk mengadakan perbincangan dengan Umno dan sesiapa sahaja.
"PAS akan tetap bersatu dan tidak akan berpecah kepada kumpulan yang berpihak samada kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz ataupun kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh media dan mereka yang ingin melihat PAS berpecah selama ini."katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pada majlis Ihtifal PASTI kawasan Nibong Tebal.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungei Bakap, Maktar Shapee, Yang Dipertua PAS kawasan Nibong Tebal, Rahman Ramjan dan kepimpinan Pakatan Rakyat kawasan Nibong Tebal.
-Dipetik Dari SiasahDaily-
-Oleh : Pak Tam-
Umno pengumpul sampah
dan barang lusuh kata Aziz Bari
KUALA LUMPUR, - Tindakan Umno mahu menerima Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah mengesahkan kedudukan Umno sebagai pengumpul sampah dan barang lusuh sebagaimana yang mereka lakukan di Perak, di Kedah dan sekarang di Selangor, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Abdul Aziz, profesor undang-undang perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa berkata demikian dalam tulisan terbaru beliau dalam sebuah akhbar tempatan.
Abdul Aziz mengulas tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamafd Khir Toyo yang berkata, Umno sedia menerima Adun Perlabuhan Klang itu menyertai parti itu.
Khir yang juga ketua pembangkang Dun Selangor membuat tawaran itu ekoran tindakan Badrol mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Bagi Dr Abdul Aziz, langkah ini mengesahkan Umno sebagai pengumpul sampah dan bahan lusuh.
Ini kerana, sebelum Badrol mengumumkan keluar parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuatkan kenyataan mencadangkan PKR meminta Badrol meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugasnya sebagai Adun.
Badrol bukan sahaja tidak memberikan khidmat, dia juga telah menutup pusat khidmatnya dan tidak mengangkat panggilan telefon dari pejabat MB dan pihak yang ingin mendapatkan khidmat beliau sebagai Adun.
Sebelum Badrol, Umno menerima dua Adun di Perak yang sedang dibicarakan kerana dakwaan rasuah iaitu Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.
Umno juga menerima Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang memberikan pelbagai jenis masalah kepada kerajaan negeri Kedah.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Wibawa Nik Aziz
yakinkan DAP kepada PAS
IPOH, - Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat petang semalam melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana masyarakat bukan Islam, termasuk para pemimpin DAP negeri sudi menjemputnya bersama-sama memperkukuh majlis Pakatan Rakyat di Perak.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana parti PAS diterima oleh orang bukan Islam. PAS negeri tidak lagi menjemput saya dalam program parti, tapi Ngeh Khoo Ham...pemimpin DAP yang jemput saya sama-sama perkukuh Pakatan Rakyat di Perak."
Demikian kata Nik Aziz ketika memberikan ucapan di majlis penutup konvensyen Pakatan Rakyat Perak.
Dalam nada berjenaka, Nik Aziz melahirkan rasa terkejut kerana pemimpin PAS tidak lagi menjemputnya, disebabkan beliau menyokong Pakatan Rakyat.
Dalam ucapan perasmian itu juga, Nik Aziz mengajak semua pemimpin parti-parti peringkat negeri menjadikan parti masing-masing berusaha mengenal Pencipta dunia ini, iaitu Allah.
"Sebelum (Allah) mencipta manusia, bumi ini telah ada. Kalau Allah cipta dulu manusia baru cipta bumi, di mana manusia nak tinggal...dia (manusia) kata dia cipta (dunia)...Umno tak kenal Pencipta, sebab itu dia rampas kerajaan...dia (Umno) anggap bumi ini dia punya," jelasnya.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana para pemimpin Pakatan Rakyat Perak berusaha untuk saling mengenali antara satu sama lain.
"Begitu juga manusia, Allah cipta tak sama muka...supaya kenal-mengenal...saya jadi Melayu kebetulan (dan) Ngeh Khor Ham jadi Cina kebetulan sebab itu rahmat."
"Kalau Allah jadikan manusia sama semua muka macam (seperti) selipar Jepun, susah nak kenal mana satu Nik Aziz dan Ngeh Kor Ham," jenaka Nik Aziz lagi.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menjelaskan tohmahan Umno kononnya budaya membaca ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebagai suatu penghinaan kepada Islam.
"Nabi pun mengutus surat pada semua pemimpin kerajaan bukan Islam, Raja Najasyi di Habsyah, Kaisar di Parsi, Heracleus di Rom, Nabi mula dengan tulis ayat al-Quran."
"Nabi tulis untuk pemimpin bukan Islam baca, bukan Nabi tulis: jangan baca ayat al-Quran ini sebab nanti hina Islam. Pemimpin Umno bodoh agama dan tak suka ikut Nabi," tegas Nik Aziz lagi.
Tegas Nik Aziz lagi, perjuangan PAS berdasarkan ajaran Islam, bukannya politik perkauman Melayu sebagaimana yang diamalkan Umno.
Jadi, beliau mengajak masyarakat bukan Islam mengenali Islam sebelum mengenali perjuangan PAS di Malaysia.
Ngeh Khoo Ham yang berucap sebelumnya mengakui bahawa DAP dan beliau sendiri sebelum ini percaya bahawa PAS adalah parti ekstrem, disebabkan terperdaya dengan propaganda Umno.
"Dulu saya memang ingat PAS (sebagai) parti ekstremis agama, fundamantelis dan tidak suka orang Cina (dan) dan bukan Islam. Itu semua sebelum kenal Tok Guru dan Hj. Nizar lah," jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak menyuarakan rasa kagum dengan kepimpinan amanah Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana bersabar dan terus mempertahankan mandat rakyat, walaupun selepas Umno merampas kerajaan negeri.
Katanya lagi, kewibawaan Nizar menyebabkan majoriti rakyat terus bersama Pakatan Rakyat, walaupun beberapa Adun Pakaran Rakyat mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.
Beliau juga berharap hubungan antara PAS, PKR dan DAP di Perak kekal kukuh, walaupun masing-msing mempunyai beberapa perbezaan dari segi ideologi kepartian.
Turut menyertai majlis perasmian penutup Nik Aziz itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Mustafa Kamil Ayub, Speaker DUN V. Sivakumar dan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Meng,
Dipercayai kekaguman para pemimpin Pakatan Rakyat Perak terhadap peribadi Nik Aziz kerana Mursyidul Am PAS itu kebelakangan ini tegas mempertahankan gagasan Pakatan Rakyat dari diperdaya oleh Umno.
Ianya sekaligus menjadikan Nik Aziz bukan sahaja berwibawa dalam kalangan ahli-ahli PAS, malah mula dikagumi oleh para pemimpin Pakatan Rakyat sendiri.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh Dzulfikar Mashoor-
18 bulan Pakatan tadbir
P. Pinang dengan jayanya
IPOH, - Walaupun baru 18 tahun memerintah kerajaan Pulau Pinang, Pakatan Rakyat berjaya melakukan pelbagai perubahan.
Ianya termasuk menangani kemiskinan tegar rakyat yang gagal diselesaikan sejak 51 tahun Umno memerintah kerajaan negeri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pagi tadi menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat telahpun melaksanakan insentif RM500 kepada setiap keluarga miskin di negeri itu.
"Umno perintah Pulau Pinang 51 tahun dengan dasar pecah (dan) perintah...mereka gagal selesaikan isu kemiskinan tegar. Kita perintah, kita pastikan setiap keluarga miskin tegar dapat RM500," tegas.
Ujarnya, Umno dan BN memperlekah dasar itu akan kerana ia akan menjadikan kerajaan bankrup.
"Mereka kata kerajaan kita akan bankrup kalau terus beri duit kepada rakyat. Kalau beri rasuah kepada mereka tak apa. Inilah dasar Umno," jelasnya lagi.
Ketika membentangkan kertas kerja Pengalaman Pulau Pinang: Perpaduan Kaum dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Perak, Guan Eng juga menjelaskan bahawa kerajaan negerinya mengamalkan prinsip ketuanan rakyat.
"Saya lebih suka guna perpaduan rakyat dari guna perpaduan kaum seperti Umno...kerana perpaduan kaum akan menjadikan semua kaum lebih mementingkan (dari) nilai Malaysia," tegas.
Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang membangunkan prasarana wireless secara percuma agar rakyat diperkasa dengan maklumat.
Tambahnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang juga melaksanakan beberapa dasar kebajikan untuk kepentingan rakyat.
"Di Pulau Pinang beri elaun kepada Huffaz (penghafal al-Quran)...iktiraf lebih 100 Huffaz dengan beri sijil dan elaun tertentu kerana mereka penting untuk jaga rakyat."
"Kita (kerajaan negeri) jalankan skim pinjaman mikro kredit Islam kepada ibu-ibu tunggal."
Beliau yang juga Setiausaha Agong DAP menegaskan kerajaan boleh melaksanakan kebajikan kepada rakyat kerana kerajaan negeri mengamalkan penjimatan, ketelusan dan amanah.
"Kerajaan juga boleh kongsi kekayaan dengan rakyat kerana kerajaan dapat jimat RM38 juta...12 peratus...kita tak kebas (curi), kita bagi pada rakyat."
"Kita laksana tender terbula dengan e-tender. Kalau dulu (Umno) guna kabel politik, kita (Pakatan) guna kabel komputer secara adil dan amanah."
Beliau juga menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama mendapat pengiktirafan dari Agensi Transperansi Antarabangsa (TI).
_______________________________________________Laporan Semalam:
Pulau Pinang ikrar tingkat integriti...
BUTTERWORTH, 30 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan, kerajaan negeri akan memantau dan membaiki ketidakcekapan pengurusan pentadbiran negeri untuk memberi jaminan integriti terpelihara dan tidak terus dipergunakan oleh perasuah atau kegiatan penyelewengan.
Kegagalan pengawasan integriti bermakna runtuh segala pengharapan rakyat untuk melihat Pulau Pinang maju demi setapak membebaskan diri daripada gejala tidak bermoral sekaligus tentunya menjejaskan integriti kerajaan sendiri tambahan lagi dengan slogan "Cekap, Akauntabiliti dan Telus" atau CAT.
"Integriti bukan sahaja bersangkutan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa semata-mata malah terdapat banyak lagi yang harus dipantau dan diperbaiki seperti ketidakcekapan, penipuan, masalah sosial, kesetiaan dan perilaku tidak beretika yang merupakan penyumbang kepada kemerosotan integriti," ujarnya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Tunku Geodesic Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.
"Jika berdasarkan anggaran setiap RM1 yang dilaporkan ada RM10 lagi kegiatan tidak bermoral itu tidak didedahkan. Ia amat menggerunkan, " jelasnya.
Selain daripada itu lapuran Ketua Audit Negara amat mengejutkan di mana berlaku penyelewengan ketara termasuk RM1.14 bilion di atas kegagalan menyiapkan Landasan Berkembar Elektrik Rawang ke Ipoh, pembeliah sebuah laptop dengan harga RM42,320 dan sebuah monitor komputer 19 inci berharga RM8,500 sebuah serta kerugian RM7.1 bilion kerana kemungkinan Syarikat Prasarana Negara Berhad yang gagal memenuhi keperluan bon berkaitan urusan pengangkutan dan Monorel Kuala Lumpur.
Akibat rasuah juga mengakibatkan bangunan stadium dan masjid runtuh dan bertambah menyakitkan hati rasuah turut mengorbankan beberapa orang kanak-kanak sekolah apabila jambatan gantung di Kuala Dipang, Perak runtuh ke sungai walaupun pembinaanya baru siap dua minggu.
Jesteru itu, kerajaan negeri memerlukan pegawai yang cekap, berkesan dan inovatif serta mampu untuk mengerakan semula sistem pengurusan agar tidak beku, jumud atau penuh dengan karenah birokrasi.
"Memandangkan terlalu banyak perasuah hasil kerajaan terdahulu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mengumumkan ganjaran sebanyak RM10 ribu kepada mana-mana individu yang dapat membongkar segala bentuk penyelewengan. Ganjaran yang digelar hadiah "i" (integriti) akan diberikan untuk menilai integriti individu. Ia akan dinilai oleh pegawai kewangan negeri bagi memupuk semangat integriti di kalangan kakitangan kerajaan negeri, " ujar beliau.
Melalui program tersebut Hadiah "i" itu buat kali pertamanya dimenangi oleh Ketua Hakim Syarie, Tuan Haji Yusuf Musa yang telah berjaya membongkarkan penyelewengan melibatkan wang melebihi RM500 ribu di Mahkamah Syarie yang melibatkan pembayaran balik bon jamin yang dilesapkan.
Hasil daripada kes berkenaan Kerajaan Negeri berharap hadiah "i" ini akan diberikan kepada penjawat awam setiap bulan bila mereka tampil membawa kes rasuah, penyelewengan dan sebagainya.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Faiza Zulkifli dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Mat Sabu ingatkan
Pemuda PAS: Sekarang
bukan zaman slogan!
KEMAMAN, - Pemuda merupakan pemimpin masa depan sesebuah negara yang bakal mencorakkan pemerintahannya.Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata, mahu tidak mahu generasi muda hari ini bakal memimpin negara dimasa hadapan.Katanya, apabila mendapat kuasa dan memerintah pelaksanaan lebih penting daripada teori dan slogan.
“Saya berpesan kepada kamu (pemuda). Kamu sekarang ini bukan lagi berada di zaman slogan dan teori tetapi kamu (pemuda) berada di zaman pelaksanaan.
“Bila kita sudah dapat memerintah kita kena tunjuklah. Bagaimana sistem zakatnya, macam kehidupan pemimpin yang dapat kuasa dan sebagainya.
“Dan bukan lagi kita bercakap tentang pemimpin Saidina Umar Abdul Aziz (teori) tetapi peringkat pelaksana,” ujarnya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Himpit 10K 2009, di Dataran Tok Guru, Kampung Geliga Besar, Chukai, Kemaman pada 29 Oktober lalu.
Ini kerana, katanya orang bukan Islam telah mula dapat menerima pendekatan Islam dan cara Islam memerintah.
Menurutnya, penyelesaian kepada segala permasalahan kehidupan boleh diselesaikan dengan Islam.
“Sebab itu, orang sudah terima (Islam) sekarang. Ini termasuk orang bukan Islam iaitu Islam sebagai penyelesaian.
“Saya yakin orang Cina, orang India berpotensi besar untuk memeluk Islam dimasa akan datang jika kita (PAS) dapat memperhebatkan (pelaksanaan teori),” jelasnya.
Katanya, apa yang dilakukan itu akan dilihat oleh manusia dimasa akan datang bagaimana kehebatan Islam mentadbir dunia.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, Yang Dipertua PAS Kemaman, Harun Ismail dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
-Dipetik Dari DetikDaily.Net-
-Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD-
Nik Aziz sahkan
sertai mesyuarat khas
KUALA LUMPUR, - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok.
Keputusan itu dibuat Nik Aziz hari ini walaupun sebelum ini beliau keberatan untuk menyertainya dan telah memberikan amanah kepada Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang menemui beliau baru-baru ini untuk menyampaikan pandangannya.
Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakhri Haron kepada Harakahdaily.
Sebelum ini, Nik Aziz dikatakan keberatan untuk ke Kuala Lumpur kerana sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan sedang berlangsung.
"Saya telah sampaikan apa yang saya nak kata kepada Salahudin," kata Nik Aziz sebelum ini.
Namun, hari ini beliau membuat keputusan akan menyertai mesyuarat yang dianggap penting itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ditanya bertalu-talu dalam sidang medianya semalam samada Nik Aziz akan datang atau tidak dalam mesyuarat khas esok.
Mustafa berkata, beliau tidak tahu samada Nik Aziz akan datang atau pun tidak tetapi sekurang-kurangnya dia telah memaklumkan pandangannya melalui Salahudin Ayub.
PAS memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok mulai jam 8.30 malam di Pajabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Mesyuarat ini dipanggil ekoran cadangan Nik Aziz agar PAS adakan satu mesyuarat agung luar biasa untuk memilih semula pucuk pimpinannya.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar diadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara ini.
Mesyuarat ini akan mengambil keputusan samada perlu atau tidak diadakan mesyuarat agung luar biasa itu.
Selain AJK PAS Pusat, anggota mesyuarat ini adalah para pesuruhjaya PAS bagi setiap negeri.
Menurut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan dengan arahan presiden, permintaan satu pertiga ahli Jawatankuasa PAS Pusat atau permintaan satu pertiga dari kawasan-kawasan PAS di seluruh negara iaitu sekurang-kurangnya 57 kawasan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Teoh dibunuh:
Exco lapor polis,
mahu suruhanjaya diraja
SERI KEMBANGAN, - Exco Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah hari ini membuat satu laporan polis berikutan pendedahan terbaru mengesahkan 80 peratus pembantunya mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh bukan terjatuh.
Laporan dibuat di balai polis Seri Kembangan pagi ini mendesak pihak polis menyiasat kes ini dari sudut kes pembunuhan bukannya bunuh diri atau mati mengejut.
"saya berasa sangat kecewa, pihak polis menyiasat kes ini daripada sudut bunuh diri sejak awal. Sudut ini telah menghadkan skop siasatan polis dan telah melepaskan peluang emas untuk mencari bukti. Adakah pihak polis sengaja mahu melindungi SPRM pada hari pertama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan.
Beliau juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera dan menghentikan Inkues yang didakwa tidak telus dan membazirkan wang rakyat.
"Jangan bazirkan wang rakyat, keluarga dan juga pegawai-pegawai, kerajaan pusat harus tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini.
"Saya lihat inkues ini berjalan dengan tidak baik, dan tidak telus, mereka hanya menyiasat berdasarkan laporan polis dan patologi tempatan, itu telah mengecewakan rakyat." katanya lagi.
Beliau turut mendakwa terdapat sesetengah pihak cuba untuk menyembunyikan kisah sebenar disebalik kematian Teoh ini.
Rakyat Malaysia katanya mahu melihat keadilan ditegakkan dan Teoh tidak boleh mati sia-sia sahaja.
"Ini peluang untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh menjalankan tugas dengan profesional dan bebas," katanya lagi.
Patologi terkenal antarabangsa dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand Rabu lalu telah memberi keterangan sebagai saksi pakar di Inkues mengenai kematian Teoh dan membuat kesimpulan kematian mendiang disebabkan dibunuh.
Ianya berikutan tanda bulat di leher Teoh dipercayai dicekik, retakan pada tengkorak mendiang bukan akibat terjatuh dan kecederaan pada dubur Teoh juga akibat dicucuk dengan objek sebelum terjatuh.
Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam dipercayai jatuh daripada tingkat 14 bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, pada 16 Julai 2009, jam 1.30 tengah hari selepas menjalani soal siasat.
Mendiang adalah setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nazri Abdullah-
19 tahun: Adun BN
rakam tahniah pada
MB Kelantan
KOTA BHARU, - Kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan yang kini sudah menjangkau 19 tahun mendapat ucapan tahniah daripada Datuk Norzula Mat Diah (BN-Paloh) dan berharap kerajaan dapat mempertingkatkan usaha mencari pelbagai sumber pendapatan baru.
Beliau berkata sedemikian ketika membahas ucapan titah Pemangku Raja semalam.
Norzula juga berkata sehingga kini terlalu banyak jurang diadakan dalam usaha untuk merapatkan hubungan dua hala yang sebaik mungkin di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
"Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kepada saya sendiri yang kini sudah menjadi wakil Rakyat selama sembilan belas tahun,"katanya lagi.
Norzula berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS ini seharusnya mencari pelbagai usaha di samping kini berharap agar mendapat royalti minyak dari petronas dan kerajaan pusat.
"saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan tidak sahaja merangka usaha penanaman pokok depu yang mengambil masa yang lama bagi mendapat hasil,ia seharusnya memikirkan sesuatu yang membolehkan hasil yang segera kepada rakyat negeri ini,"ujar beliau lagi.
Sementara itu, Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumboh) pula ketika ucapan perbahasan titah Pemangku Raja pula turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nik Aziz yang berjaya mentadbir Kelantan sehingga berusia sembilan belas tahun.
Ahmad Baihaki berkata, walaupun pelbagai rintangan dan cabaran yang dilalui oleh kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru, namun kecekalan dan kesabaran yang tersemat di jiwa seorang bertaraf ulama telah membuktikan kepada dunia bahawa pentadbiran sesebuah negeri maupun negara bukan sekadar terletak kepada mereka yang bertaraf doctor maupun jurutera,malah ulama juga mampu mentadbirnya.
Beliau juga telah menggariskan beberapa kejayaan PAS mentadbir negeri ini seperti berjaya membuktikan ulama juga mampu mentadbir negeri, melahirkan sebuah kerajaan yang bersih dari gejala rasuah,dapat menafikan bahawa politik dan agama berasingan di pemikiran rakyat,dapat menjelaskan bahawa bukannya umno/BN sahaja yang dapat memerintah negeri,Konsep Membangun Bersama Islam jelas menjadi panduan kepada seluruh rakyat negeri ini.
Di samping itu, Ahmad Baihaki turut merakamkan ucapan tahniah kepada ucapan sulung Yang Maha Mulia Pemangku Raja yang ingin melihat Kelantan terus maju dari segi fizikal dan rohani dengan menekankan aspek pertanian dan harapan baginda agar Kelantan dapat menjadi sebuah negeri Jelapang makanan negara dan memperkenalkan konsep bertani satu ibadah.
Adun Pasir Tumboh ini juga berharap pihak kerajaan dapat memperkasakan sistem pengajian pondok di negeri Kelantan dan meneruskan kesinambungan sistem ini ke seluruh negeri disamping mempertingkatkan sumbangan dana kewangan kepada pondok-pondok di negeri ini.
Menyentuh kepada sektor pelancongan pula,Ahmad Baihaki berkata harapan agar dapat melihat Kelantan dikenali sebagai tempat Pelancongan Agama iaitu sesuai dengan jolokan Kelantan Serambi Mekah.
Beliau juga mencadangkan agar pihak kerajaan memperkasakan tulisan jawi di seluruh negeri dan memperbanyakkan papan tanda yang menerangkan terdapatnya kawasan pondok agama,masjid maupun madrasah di seluruh pelusuk negeri.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Mohd Nor Yahya-
Mohamad Sabu ketuai
post mortem PAS
KUALA LUMPUR, - PAS telah melantik AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu untuk mengetuai satu jawatankuasa kajisiasat (post mortem) kenapa calonnya kalah teruk dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad dilantik berdasarkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam jentera pilihan raya kecil tersebut.
Mustafa memberitahu perkara ini ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam.
Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah kepada calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihan raya itu dengan majoriti 5, 435 undi berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
Mustafa dalam pertemuan yang sama menjelaskan pandangannya dengan terperinci kenapa PAS kalah dalam pilihan raya ini.
"Punca utama adalah undi pos yang tidak telus...bukan pilihan raya ini sahaja, proses pengundian undi pos di mana-mana sahaja dalam negara ini tidak telus.
"Bagi saya, inilah punca utama kemenangan besar Umno," kata beliau yang berada di Bagan Pinang sejak sebelum hari penamaan calon lagi.
Selain Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) khasnya Umno sudah dikira menang di mana-mana sahaja kawasan Dun yang mempunyai undi pos melebihi 5,000.
"Selain Bagan Pinang, Umno sentiasa menang di Dun Pangkor (kawasan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) yang mempunyai 12,000 undi pos dan Sungai Udang yang mempunyai 10,000 undi pos," beritahu Mustafa.
Oleh itu, beliau berpendapat, undi pos perlu dikaji semula bukan kerana dengki kepada Umno tetapi supaya negara ini dilihat mempunyai sistem pilihan raya yang telus.
"Saya cadangkan, undi pos dikekalkan kepada pelajar dan diplomat yang berada di luar negara serta petugas SPR sahaja...yang lain undi biasa.
"Pusat pengundian boleh dibuat di luar pagar kem pun tidak apa, asalkan parti-parti yang bertanding boleh menyaksikan dengan telus proses pilihan raya berjalan," katanya.
Selain faktor undi pos, Mustafa yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung berpendapat, faktor kelemahan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri di Bagan Pinang juga menjadi faktor.
"Bayangkan PAS hanya mempunyai 100 ahli sahaja di sini dengan hanya dua cawangan sedangkan Umno ada 30 cawangan di sini," katanya.
Namun begitu, beliau menolak, masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Selangor sebagai satu punca utama undi PAS merosot di kalangan orang Cina.
"Kalau isu itu memberikan kesan, sepatutnya ia memberi kesan di Permatang Pasir lagi kerana isu di Selangor meletup menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir...kenapa di sana tidak?" soal beliau.
Untuk undi kaum India pula, Mustafa berpendapat, antara puncanya adalah kegagalan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menembusinya kerana dikawal ketat termasuk oleh gengster.
Di samping itu, curahan wang dan benda untuk mereka juga memihak kepada BN di samping kelemahan perkhidmatan para wakil rakyat Pakatan Rakyat sebelum ini.
Namun beliau percaya, pilihan raya kecil ini bukan satu batu asas (bechmark) kepada pergerakan politik di negara ini kerana ia bukan satu neraca yang tepat untuk melihat politik Malaysia secara keseluruhannya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
HIMPUNAN PEMUDA
ISLAM TERENGGANU
PADA 29,30,31 OKT 09
KEMAMAN, - Dewan Pemuda PAS Terengganu akan mengadakan HIMPUNAN PEMUDA ISLAM TERENGGANU (HIMPIT) kali ke 10 akan diadakan hari Khamis, Jumaat dan Sabtu pada 29,30,31 Oktober 2009 di Dataran Tok Guru , Geliga dekat sini.
Pengarahnya, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus berkata objektif utama himpunan tersebut bagi menghimpunkan semua tenaga kearah memperkasakan gerakan pemuda bagi meningkatkan semangat dan daya juang disamping mengerakan kesedaran dan tanggungjawab dengan tugas-tugas kemasyarakatan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan dakwah
Program bermula dengan ceramah perdana pada malam tersebut membariskan penceramah terdiri Presiden PAS, YB Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tuan Haji Mohamad bin Sabu dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohamad Noor Hamzah.
Manakala pada paginya,kata beliau Kuliah Pagi Jumaat akan disampaikan oleh Ustaz Azhar, Pendakwah Tersohor Terengganu akan bersama dengan seluruh peserta himpit serta penduduk sekitarnya dan Perasmian HIMPIT serta pelancaran program “ORANG MUDA GENG KITE” akan dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi.
Acara menarik sepanjang masa seperti sukaneka, mini expo, Rawatan Islam percuma, pendaftaran ahli PAS dan Ahli UKJ, pemeriksaan kesihatan percuma, Tayangan Video, klinik motor,pertandingan melukis, pertandingan berkaraoke nasyid serta pertandingan pidato antara kawasan turut diadakan manakala pada malam Konsert Orang Muda Geng Kite bersama Inteam,Renggo ( bekas kumpulan rock), dan Marhaban akan mengadakan persembahan”, katanya lagi.
Bagi yang ingin mengiklankan dalam buku cendermata dan temahan gerai disepanjang program, sila hubungi setiausaha program, ditalian 019-9555209.
Majlis yang menjadi acara tahunan ini, penutupnya dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib.
-Dipetik Dari Tranungkite.Net-
-Oleh : dppkemaman-
Pilihan Raya Kecil:
Kalah atau Menang
– Undi Pos Tetap Mencurigakan
Walaupun PAS kalah dalam Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang dan kita sedar berlakunya perubahan mood pengundi di Bagan Pinang tetapi saya tetap akan dedahkan ruang-ruang manipulasi yang terdapat dalam undi pos dan kesan-kesannya.

Table 1 : Undi Pos Mengikut Peti Undi

Table 2 : Keputusan Bagi 3 Pilihan Raya
Walaupun PAS kalah dalam Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang dan kita sedar berlakunya perubahan mood pengundi di Bagan Pinang tetapi saya tetap akan dedahkan ruang-ruang manipulasi yang terdapat dalam undi pos dan kesan-kesannya.
Fakta 1 :
PAS mendapat 0 di peti undi 14, 15 dan 16. Peti undi ini adalah datang daripada MINDF. Rujuk Table 1. Jika dibandingkan dengan peti-peti yang lain, peti 14,15 dan 16 cukup pelik kerana PAS dapat 0. Pengundi-pengundi ini adalah mereka yang dalam proses pencen(peralihan). Kebanyakkan mereka mengikuti latihan persediaan untuk pencen. Mereka adalah golongan kritikel. Mereka boleh menyokong PAS kerana mereka hampir bebas daripada ikatan tugas sebagai seorang tentera. Mungkin kerana itu undi mereka perlu diletakkan di MINDF. Saya penuh percaya kebanyakkan mereka tidak mengundi.
Persoalannya jika mereka tidak mengundi mengapa PAS dapat 0 dan BN dapat 881? Apakah munasabah anggota tentera yang dalam proses pencen tidak langsung mengundi PAS? Jawapannya mudah peristiwa Pak Abu Kassim yang telah mengaku memangkah undi-undi anggota tentera semasa berkhidmat mungkin telah berlaku sekali lagi. Pengakuan ini dibuat pada 28.09.2009 dihadapan Pengerusi SPR Tan Sri Aziz..
Fakta 2 :
Jika dilihat daripada 3 pilihan raya iaitu tahun 2004, 2008 dan 2009 maka pencapaian PAS dalam undi pos dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang 2009 adalah yang terburuk iaitu 14.41 % dibandingkan dengan 26.28%(2008) dan 31.38%(2009). Rujuk Table 2.
Persoalannya mengapa keadaan ini terjadi sedangkan kawalan dan tekanan daripada PAS sangat kuat dibuat dalam PRK kali ini? Antara usaha-usaha PAS terhadap undi pos adalah dua kali pertemuan dengan SPR, dua kali laporan polis, dua kali bantahan, 5 kali sidang akhbar, kawalan 24 jam di tempat penyimpanan kerta undi pos dan latihan intensif kepada ejen pengundian pos.
Jawapannya adalah mudah. Manipulator mempunyai undi sebanyak 2,911 untuk di manipulasi termasuk 930 daripada MINDF. Kertas undi ini adalah kertas undi yang seharusnya di pos kepada pengundi-pengundi pos. Berkemungkinan peristiwa Pak Abu Kassim berlaku di MINDF. Semakin PAS kuat menekan SPR maka semakin terancam manipulator. Maka semakin kemas dan kuatlah usaha manipulator untuk mempastikan calon mereka menang.
Fakta 3 :
Semasa proses pengundian pada 8hb, 9hb dan 10hb Oktober 2009. Pihak Kem telah menggunakan daftar pemilih yang tidak sah seperti yang dikeluarkan oleh SPR. Terdapat banyak perbezaan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Kem
Berikut adalah perbezaan yang terdapat pada daftar pemilih tentera :
1. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor siri pengundi pos yang sebenar seperti yang dikeluarkan oleh
daftar pemilih SPR.
2. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor identiti isteri pengundi pos
3. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor lokaliti pengundi pos.
4. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor kad pengenalan lama isteri pengundi pos.
Pengunaan daftar pemilih tentera yang berbeza dengan daftar pemilih SPR telah menyebabkan ejen pengundian pos calon PAS :
1. Tidak boleh mengesahkan identiti pengundi pos semasa mereka datang mengundi.
2. Tidak boleh mengesahkan bilangan keseluruhan pengundi pos.
3. Tidak boleh mengesahkan bilangan sebenar pengundi yang telah hadir.
4. Tidak boleh mengesahkan bilangan sebenar pengundi pos yang tidak hadir.
5. Tidak boleh mengesahkan pengundi pos yang meragukan.
Perbuatan di atas adalah menyalahi Peraturan 14A Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang menyatakan bahawa:
“Daftar pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan hendaklah merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi.”
Yang lebih menarik lagi pihak kem tidak membenarkan ejen-ejen PAS mendapat salinan daftar pemilih mereka ini. Jadi apakah tugas ejen PAS selain menjadi Patung Pilihan Raya.
Fakta 4 :
Pada 7hb Oktober 2009 suatu pertemuan telah diadakan di SPR. Empat orang wakil PAS adalah Dato Mustafa Ali, Dato Halim Abd Rahman, saya dan Sdr. Mozaid telah bertemu dengan SPR dari jam 3 – 5 ptg. Kami telah membantah 253 Pengundi Pos yang mempunyai 2 nama dalam daftar pemilih (Double vote). Perkara ini bertentangan dengan seksyen 10 Akta Pilihanraya 1958 :
“Tiada seorang pun berhak dimasukkan dalam daftar pemilih sebagai seorang pemilih dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya bagi maksud sesuatu pilihan raya”
Malangnya SPR tetap berkeras percaya bahawa mereka mempunyai kuasa dibawah peraturan 14 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) yang menyatakan bahawa nama pengundi dalam daftar pemilih adalah menjadi keterangan prima facie untuk mereka mengundi walupun mereka telah pencen.
Suhaizan Bin Kaiat
Pengerusi Jawatankuasa Khas
Undi Pos Dewan Pemuda PAS Pusat
-Dipetik Dari Tranungkite.Net-
Wujudkan Pilihanraya
Di Dun Bagan Pinang?
Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengendalikan kes petisyen pilihan raya bagi DUN Bangi saya dan Peguam Negara , Tan Sri Abdul Ghani Patail bertelagah tentang makna demokrasi.Peguam Negara yang memohon Mahkamah membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh PAS berhujah bahawa calon BN di Bangi , Amran Kasimin ( pada masa itu ) telah menang dengan majoriti yang besar sekaligus mengalahkan calon PAS iaitu Dr Shafie Abu Bakar.
Ghani Patail berhujah bahawa Mahkamah perlu menghormati pilihan rakyat di Bangi kerana majoriti besar dari pengundi di situ mahukan calon BN. Demokrasi, hujah Ghani Patail, adalah tentang suara majoriti iaitu pihak yang menang secara majoriti adalah pihak yang layak dilantik sebagai wakil rakyat.
Ketika menjawab hujah Ghani tersebut saya berhujah bahawa demokrasi bukan soal majoriti semata-mata. Pilihanraya yang bersih , bebas dan adil adalah sine qua non ( ciri utama ) demokrasi. Mana-mana pilihan raya yang tidak bersih, tidak bebas dan tidak adil ia bukanlah satu pilihan raya meskipun diadakan lima tahun sekali kerana pilihan raya sebegitu melanggar ruh dan prinsip demokrasi.
Saya hujahkan bahawa bagaimanakah pilihanraya di Bangi itu boleh dikatakan adil, bersih dan bebas sedangkan banyak peraturan yang BN langgar .Misalnya calon BN secara jelas menipu dengan menggunakan title Profesor di poster beliau meskipun beliau bukan seorang Profesor. Daftar pemilih yang digunakan di hari pengundian berbeza dengan daftar yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan sedangkan undang-undang pilihanraya menyatakan secara jelas hanya daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan yang boleh diterima sebagai daftar pemilih yang sahih pada hari pengundian. Saya selanjutnya berhujah “ Yang Arif, BN menang besar kerana mereka adalah penipu/pembohong besar !!!”. Ghani Patail melenting apabila saya menyatakan BN pembohong besar.
Melihat apa yang berlaku di dalam pilihan raya kecil DUN N.31 Bagan Pinang saya tertanya-tanya wujudkah pilihan raya di DUN tersebut ?
Apa yang dikatakan Pilihan raya di Bagan Pinang menyaksikan siri pencabulan undang-undang yang amat ketara yang dilakukan oleh BN dan ejen-ejen BN yang tidak rasmi iaitu pihak SPR dan pihak tertentu di dalam Pasukan Angkatan Tentera Malaysia. SPR sepatutnya berfungsi sebagai pengawal pilihan raya tetapi seperti yang dinyatakan dalam pepatah latin “ quis custodiet ipsos custodes” ( “ siapa yang mengawal pengawal ? )
Semua tahu bahawa undi pos adalah talian hayat Umno di Bagan Pinang. Semua juga tahu proses pengundian pos diselaputi dengan pelbagai misteri dan kebal dari radar ketelusan. Penghapusan undi pos adalah salah satu tuntutan besar BERSIH. Perlaksanaan undi pos di Bagan Pinang bukan sahaja tidak telus malahan terang-terang melanggar undang-undang. Oleh itu tidak pelik jika calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 3,521 undi pos berbanding calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar yang hanya memperoleh 601 undi sahaja.
Perkara pertama yang dilanggar oleh SPR adalah kewujudan dua nama yang sama lebih kurang 250 pengundi tentera di daftar pemilih di DUN Bagan Pinang dan di beberapa daftar pemilih di daerah-daerah mengundi di seluruh negara. Misalnya nama Ahmad bin Ali wujud di daftar pemilih DUN Bagan Pinang dengan menggunakan No pengenalan tentera , dan nama yang sama juga wujud di daftar pemilih di Daerah mengundi di Kelantan dengan menggunakan No Kad Pengenalan biasa. Apabila hal ini dibangkitkan oleh PAS , SPR meskipun mengakui hal tersebut berlaku dan juga mengakui bahawa ia adalah menyalahi undang-undang hanya memberikan alasan yang sama dulu, kini dan selamanya : “ Oleh kerana terlalu ramai pengundi di negara ini, kesilapan tidak boleh dielakkan dan kami tidak boleh buat apa-apa ! Kami jamin tiada pengundi tentera yang mengundi dua kali di Dun Bagan Pinang ! Lihatlah betapa mudahnya SPR meremehkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.
Tidak cukup dengan perlanggaran tersebut, SPR sekali lagi membiarkan sahaja penggunaan daftar pemilih yang berbeza di pusat pengundi pos dengan daftar pemilih yang dibekalkan kepada calon. Kali ini alasan SPR mesipun daftar pemilih berbeza nama-nama pengundi masih ada di kedua-dua daftar pemilih yang berbeza tersebut. Pengarah Pilihan Raya SPR Negeri Sembilan, Abdul Latif Baba berkata, senarai pemilih yang dipamerkan oleh pihak tentera di papan pameran dewan pusat mengundi semasa proses pengundian berlangsung di situ adalah diatur oleh pihak tentera secara pentadbiran.
Nampak sangat SPR sengaja memejam mata melihat perlanggaran undang-undang. Undang-undangnya adalah kesemua pihak sama ada SPR, tentera atau parti-parti yang bertanding hendakah menggunakan daftar pemilih yang sama iaitu yang dibekalkan kepada calon semasa hari penamanaan calon.
Baik SPR ataupun tentera tidak diberi kuasa mengubah hal tersebut walau dengan tujuan dan niat apa sekalipun. Apabila tentera mengubah daftar pemilih tersebut ia mendatangkan kesusahan kepada petugas parti yang bertanding untuk menyemak dan mengenal pasti nama-nama pengundi yang datang membuang undi.
Apa yang lebih malang lagi para petugas parti yang bertugas memantau perjalanan pengundian pos tersebut tidak sama sekali berpeluang untuk memastikan bahawa hanya para pengundi yang namanya ada di daftar pemilih DUN Bagan Pinang yang benar-benar mengundi di situ .
Hal ini berlaku kerana tidak seperti proses pengundian biasa di mana pihak Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) akan meneriak nama para pengundi yang hadir untuk mengundi sekaligus memudahkan para polling agent parti yang bertanding menyemak nama pengundi tersebut di daftar pemilih , hal yang sama tidak berlaku di dalam proses pengundian pos khususnya di DUN Bagan Pinang.
Oleh itu tiada mekanisme untuk petugas parti yang bertanding mengetahui dengan jelas siapa yang datang mengundi dan pengundi itu mengundi bagi pihak siapa ? Bolehkah kaedah pemilihan sebegini yang penuh dengan misteri didefinisikan sebagai pilihan raya ? Hantu raya bolehlah !!!
Isu keganasan tidak perlulah saya sentuh kerana ianya satu amalan rutin oleh BN di Bagan Pinang. Para petugas BN ibarat drakula yang kehausan darah . Pilihan raya telah bertukar seperti perlawanan gusti di Bagan Pinang –perlawanan penggusti yang jahat dan tidak ikut undang-undang membelasah penggusti yang baik yang ikut undang-undang. Penggusti yang jahat dalam banyak keadaan dibela pula oleh pengadil yang lemah dan tidak berdaya !!!
Seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menafsirkan perkataan pilihan raya seperti berikut “ pilihan raya ertinya sesuatu pilihanraya yang diadakan mengikut peruntukkan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pemilihan orang sebagai ahli Dewan Rakyat , Dewan Undangan Negeri atau pihak berkuasa tempatan.
Berdasarkan tafsiran tersebut adalah jelas bahawa apa yang berlaku di Bagan Pinang bukanlah satu pilihan raya kerana ianya gagal diadakan mengikut peruntukkan undang-undang pilihan raya.
Mungkin BN berhujah jika PAS tidak puas hati , PAS seharusnya memfailkan petisyen pilihan raya di bawah sekyen 32 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 bagi membatalkan pilihan raya tersebut.
Persoalannya bagaimanakah PAS boleh memohon membatalkan pilihan raya tersebut jika pilihan raya tersebut sendiri tidak wujud menurut undang-undang. Bolehkah kita batalkan sesuatu perjanjian jika perjanjian itu sendiri tidak wujud. Menyuruh seseorang membatalkan sesuatu yang tidak wujud samalah seperti menyuruh orang itu membuat sesuatu yang mustahil
-Dipetik Dari Tranungkite.Net-
-Oleh : Mohamed Hanipa Maidin-










