Perjalanan Pilihanraya
- Details
- Kategori: Tulisan
- Diterbit pada Rabu, 18 Mei 2011 04:02
- Disusun oleh Administrator
- Capaian: 490
Negara yang mengamalkan demokrasi,rakyatnya bebas untuk mendapatkan maklumat dari berbagai pihak, samada dari badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik yang memerintah negara atau parti-parti yang tidak memerintah. Di Malaysia kebebasan media hampir tidak ada langsung. TV dan radio digunakan sepenuhnya untuk propaganda kerajaan dan parti yang mendokong kerajaan.
Alat penerangan digunakan untuk propaganda kerajaan yang memerintah adalah perkara biasa, dilakukan oleh mana-mana kerajaan di muka bumi ini. Menjadikan segala kuasa dan alat penerangan kerajaan untuk mempropagandakan parti pemerintah jarang dilakukan oleh kerajaan demokrasi di muka bumi ini. Malaysia sudah termasuk di dalam kategori melampau dalam hal mempropagandakan parti yang mendokong kerajaan. Sudah ada ditahap yang paling melampau dalam memperlekeh parti-parti yang tidak memerintah (pembangkang) melalui media pandang-dengar milik kerajaan.
TV3 dan RTM sudah menjadi alat propaganda UMNO dab Barisan Nasional, dan bukan lagi alat propaganda kerajaan. Rakyat awam amat sukar mendapat maklumat hal rasuah, nepotisma, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa apabila alat komunikasi (TV, Radio dan akhbar) disalahgunakan sepenuhnya oleh pemerintah Barisan Nasional dan kerajaan.
Rakyat yang mendapat maklumat sebelah pihak, terutama penduduk luar bandar, sudah tentu tidak dapat membuat pilihan secara bebas bila tiba waktu pilihanraya.
Maklumat dipaksakan kepada rakyat melalui penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional. Majlis ceramah anjuran pembangkang selalu dipantau dengan ketat oleh pihak polis, disekat atau dihentikan. Pihak polis selalu mengepung premis ceramah terutama di kawasan Felda samada di Pahang atau di Johor. Pihak polis sudah menjadi "pengawal" Umno, dan bukan lagi bertugas menjaga keamanan.
Sepanjang lebih 50 tahun, pihak polis Mesir menjadi pembenteng kepada kerajaan Anwar Sadat dan kemudiannya kerajaan dan parti NDP Hosni Mubarak. Setiap pilihanraya parti NDP samada Anwar Sadat atau Hosni Mubarak selalunya memenangi lebih 80% kerusi parlimen. Kebebasan media dan kebebasan bersuara hampir tidak ada di Mesir. Hanya tarian gelek sahaja yang bebas di Mesir di bawah Regim Hosni Mubarak. Rakyat yang mendapat maklumat satu hala dan kebebasan bersuara tidak ada kepada rakyat Mesir, maka kemenangan pilihanraya melebihi 80% kerusi parlimen adalah kemenangan palsu semata.
Pemerintah Najib langsung tidak berusaha mengubah corak amalan demokrasi di Malaysia, bahkan sedang meniru dan melaksanakan acuan demokrasi ala Hosni Mubarak-Susan dan ala Laila-Zainal Abidin di Tunisia. Polis selalu digunakan untuk menghalang himpunan aman, kalau ada ceramah, himpunan aman yang dikawal ketat, maka hanya "hard-core" penyokong parti yang boleh menghadiri. Orang awam ditakuti dengan kuasa yang ada pada polis dan kerajaan.
Orang awam yang tidak biasa dan mampu mendapatkan maklumat melalui Facebook, website, internet, maka maklumat yang dipaksakan kepada mereka oleh kerajaan BN sahaja yang diterima oleh mereka. BN boleh menang pilihanraya dengan hebat seperti NDP Susan-Hosni Mubarak, Laila-Zainal Abidin. Saya yakin apabila kebebasan media tidak ada, penerangan pembangkang disekat maka parti Rosmah-Najib boleh menang pilihanraya dengan cemerlang.
SPR semakin tidak bebas, akan menambah kerakusan kuasa Barisan Nasional. Terbongkar sendikit pendaftaran penduduk asal Sabah dan didaftarkan di Selangor amat memeranjatkan. Kalau individu rakyat Sabah mendaftar sebagai pengundi di tempat mereka bekerja termasuk di Selangor adalah perkara biasa amalan rakyat Malaysia. Jika besar kemungkinan SPR dengan kerjasama Pendaftaran Negara membuat pendaftaran dengan sengaja dan dipandu oleh jentera Umno dan BN, maka gerakan ini amat merbahaya. Selangor mungkin boleh dikuasai semula oleh BN. Rakyat sekarang mula melihat, bukan siapa yang menang dalam pilihanraya tetapi rakyat mula melihat perjalanan pilihanraya.
Parti NDP Mesir menang 98% kerusi parlimen, tetapi rakyat keluar ke jalan raya selepas parti Susan-Hosni Mubarak merayakan kemenangan. Rakyat Mesir melihat perjalanan pilihanraya Mesir paling kotor dan tidak demokratik.
Kerajaan Rosmah-Najib kita harap dapat mengambil iktibar apa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain, bukan sahaja menang pilihanraya tetapi hendaklah dilihat perjalanan pilihanraya.
Oleh : Hj Mohamad Sabu
22 Feb. 2011












