Profail
Haji Mohamad Sabu
Ketika masih di Tingkatan Lima, beliau pernah mengarang dan menyampaikan pidato yang agak luar
biasa bagi seorang pelajar yang sebaya dengannya. Pidatonya mengenai ‘Diplomasi Ping Pong’
(iaitu mengenai pembuka hubungan diplomasi antara Amerika Syarikat dan China) menarik perhatian
guru besarnya. “Suatu hari awak akan jadi ahli politik,” kata guru besar itu. Akhirnya, apabila Hj. Mohamad
Sabu bertanding dalam Pilihanraya Umum 1982 di mana bekas guru besarnya itu kebetulan menjadi
pegawai pilihanraya, beliau memberitahu Mohamad, “Tengok, betul dak apa yang saya kata dulu!”
Dalam politik, pegangan Hj. Mohamad adalah selaras dengan pemikiran pemimpin yang amat disanjunginya,
Imam Khomeini. “Kebenaran (truth) lebih penting dari kemenangan (victory),” itulah yang terus dilaungkan
dalam ceramah-ceramahnya. “Kalau mereka tuduh kita gila kuasa, kita mengaku: Ya, memang kita gila kuasa.
Sebab, dengan kuasa kita boleh merubah keadaan negara kita yang dicengkam kezaliman. Tetapi yang lebih
penting dari kuasa (power) ialah kebenaran (truth)”.
Di awal penglibatannya dengan gerakan Islam, pemikiran Hj. Mohamad banyak dibentuk oleh pemimpin-pemimpin
dan pembimbing-pembimbing yang terpengaruh dengan Ikhwan Muslimin. Berikutan pengalamannya berinteraksi
dengan beberapa tokoh Ikhwan, Hj. Mohamad meneruskan pencarian dalam membentuk pemikiran politiknya.
Beliau membaca dan mengkaji hasil tulisan tokoh-tokoh seperti Imam Khomeini, Ayatullah Mutahhari, Ali Shariati,
Kalim Siddiqui, Muhammad Al-Asi, Jalaluddin Rachmat dan banyak lagi tokoh yang lain-lain. Di antara kalangan
tokoh-tokoh tempatan pula, pemikiran dan pandangan Syed Naquib Al-Attas dan Tan Sri Musa Hitam menarik
perhatian beliau.
Kejayaan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 banyak memberi inspirasi kepada pandangan pemikiran politik
Hj. Mohamad. Antara pendirian yang semakin teguh di jiwanya hingga sekarang ialah sikap anti Amerika Syarikat,
negara yang disifatkan oleh Imam Khomeini sebagai syaitan besar. Beliau menentang sebarang hubungan yang
tidak sewajarnya dengan syaitan besar itu dan sanggup melepaskan apa sahaja bagi mempertahankan sikapnya itu.
Beliau juga sering merungut apabila ada suara yang seolah-olah memberi kredit kepada syaitan besar itu.
Selain dari Revolusi Islam, perkembangan-perkembangan yang berlaku di Filipina dan Indonesia di hujung
kediktatoran Marcos dan Suharto pula mengukuhkan keyakinan Hj.Mohamad bahawa kezaliman hanya boleh
ditumpaskan oeleh kuasa rakyat (people’s power). Meskipun beliau menerima pilihanraya sebagai cara
menumpaskan kezaliman, tetapi beliau tidak menolak kebangkitan rakyat untuk menghancurkan kezaliman
jika semua saluran lain dinafikan.
Bagi Hj. Mohamad Sabu, tahun 1979 adalah tahun yang penuh kenangan baginya. Selain dari kejayaan Imam
Khomeini memimpin Revolusi Islam yang kemudiannya merubah politik dunia dan memartabatkan semula kekuatan
politik umat Islam, pada tahun yang sama juga beliau berumahtangga. Isterinya, Hajjah Normah Alwi, juga seorang
aktivis PAS yang aktif. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan juga pernah
menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua orang
perempuan dan dua orang lelaki.
Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan
menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981,
beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.
Pada tahun 1982, ketika baru berumur 28 tahun, beliau meletakkan jawatannya di dalam sebuah syarikat swasta
untuk bertanding dalam pilihanraya. Beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti. Pada tahun yang sama juga beliau meninggalkan ABIM sebagai memprotes
penyertaan presidennya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam Umno.
Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam
pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, yang dianggap oleh
banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu.
Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan
untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada
tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam
Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri itu. Dalam
pilihanraya itu, beliau mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli
Parlimen Nilam Puri pada masa itu.
Dalam Pilihanraya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti lebih 10,000 undi,
antara majoriti terbesar di Kelantan pada masa itu.
Dalam Pilihanraya Umum 1999 pula, ketika masih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, beliau menerima
tawaran PAS Kedah khususnya Presidan PAS, Ustaz Fadzil Noor sendiri, untuk bertanding di Kuala Kedah. Beliau
memenangi kerusi Kuala Kedah dengan majoriti 991 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah untuk terus
menyumbang baktinya kepada masyarakat di sana pula.
Manakala dalam Pilihanraya Umum ke 11 , pada tahun 2004 setelah beliau menjadi
Ahli Parlimen sebanyak 3 penggal, beliau kalah bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dengan kekalahan majoriti
sebanyak 10,214 undi.
Tahun 2008 pula, di mana gelombang rakyat yang memenangkan Pakatan Rakyat (dalam gabungan PAS, PKR dan DAP)
untuk memerintah di lima buah negeri, iaitu melalui Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 , Hj Mohamad telah
mengalami kekalahan sekali lagi ketika bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan kekalahan yang tipis
sebanyak 628 undi sahaja.
Perjuangan Hj. Mohamad di dalam PAS menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, beliau ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1984 semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat.
Selepas ditahan selama 60 hari di Kuala Lumpur, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah pada September 1984
hinggalah September 1986 dengan pergerakan terhad selama dua tahun. Sebelum ditahan di bawah ISA, beliau pernah
dikurung di dalam lokap selama dua minggu pada tahun 1975 kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan pelajar
ITM menentang Akta Universiti.
Dalam tahun 1987 pula, iaitu dalam Operasi Lalang, Hj. Mohamad sekali lagi ditahan di bawah ISA (penahanan kali kedua).
Beliau di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990.
Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan
beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagi Mohamad Sabu ketegangan itu
berpunca dari memarakkan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang
melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar
Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA.
Walaupun dibebaskan dari Kamunting, beliau terus dikenakan perintah tahanan
daerah di Shah Alam hinggalah April 1990. Beliau selalu mengulas penahanannya di bawah Operasi Lalang itu. “Umno
berkelahi dengan MCA, aku yang ditangkap,” kata beliau.
Setelah dilantik sebagai Ketua Lujnah Buruh dan Setinggan PAS, Hj. Mohamad mempertingkatkan lagi usahanya untuk
membela nasib kaum buruh dan setinggan yang memang menjadi minat beliau. Antara lain, beliau pernah berusaha
untuk mendapatkan pam air dan janakuasa elektrik untuk penduduk setinggan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur
setelah dikenakan tindakan zalim melalui pemotongan bekalan air dan elektrik untuk menghalau mereka. Dalam
membela nasib setinggan, beliau sanggup bergaduh dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil
sikap berlepas tangan dan memimpin rombongan setinggan untuk berhadapan dengan Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri.
Beliau juga berusaha membela nasib Orang Asli di Tapah Perak sehingga akhirnya bantuan untuk mereka termasuk
pakaian sekolah anak-anak mereka diberikan semula. Pada beliau, kejayaan yang paling manis ialah penglibatannya
sebagai salah seorang peneraju utama perhimpunan rakyat untuk menentang pembinaan Jerai International Park yang
melibatkan kawasan kira-kira 4,000 hektar termasuk sawah para petani. Perhimpunan itu disertai kira-kira 100,000
rakyat dan akhirnya projek tersebut dibatalkan.
Manakala jawatan tertinggi di dalam di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) , beliau telah menjadi Naib Presiden selama
2 penggal berturut-turut, iaitu Sessi 2005-2007 dan Sessi 2007-2009.
Sekarang ini juga, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi & Mobilisasi (Penggerak
Demokrasi) , beliau juga adalah antara salah seorang peneraju utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat dalam himpunan BERSIH pada
10 November 2007 itu, di mana melebihi 100,000 orang hadir di sekitar tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Diperingkat antarabangsa, Hj. Mohamad pernah menyertai rombongan lapan Ahli Parlimen Islam dari seluruh dunia yang
diketuai oleh bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu ketika itu, Boutros Boutros Ghali. Beliau juga menyertai pelbagai seminar di peringkat antarabangsa termasuk
Seminar Buruh di Pakistan, Seminar Mengenai Bosnia Herzegovina di London dan Seminar Gerakan Islam di Afrika
Selatan. Beliau juga pernah menjadi tetamu dan bercakap di Radio 786 di Afrika Selatan. Beliau juga aktif memperjuangkan
nasib umat Islam Palestin, Acheh, Pattani, Selatan Filipina, Kashmir dan lain-lain.
Hj.Mohamad juga seorang peminat seni yang aktif semasa di ITM. Beliau amat berminat dalam drama dan lakonan serta
pernah menjadi Juara Pantun di ITM Jalan Othman pada tahun 1973.


